Kekejaman Di Sri Lanka : Pemuda BN Serah Memorandum Bantahan
Posted by ari on Nov 15, 2008 in Uncategorized • No commentsKuala Lumpur — Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini menyerahkan memorandum kepada Duta Sri Lanka ke Malaysia, D.D Munasinghe agar negara berkenaan menghentikan kekejaman terhadap masyarakat awam India khususnya wanita dan kanak-kanak.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pada sidang media bersama Pemuda BN sejurus penyerahan memorandum terbabit berkata pergerakan itu terpanggil untuk menyuarakan perkara tersebut supaya kekejaman yang berlaku dihentikan segera.
Menurut beliau bukanlah hasrat mereka untuk mencapuri hal ehwal dalaman negara berkenaan, namun ianya adalah atas dasar perikemanusiaan dan keamanan dunia sejagat.
“Dalam soal keamanan ini, kita rakyat Malaysia bersatu hati tidak kira daripada kaum dan agama berlainan.
“Apa yang kita lihat hari ini adalah bukti bahawa kita walau pun terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dapat duduk bersama menentang kekejaman yang berlaku di Sri Lanka.
“Malah kehadiran Pemuda BN daripada pelbagai parti komponen termasuk UMNO, MIC, MCA, PPP, Gerakan dan NGO Berbilang kaum membuktikan kita komited dalam memperjuangkan keamanan sejagat”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda selepas menyerahkan memorandum kepada Duta Sri Lanka, D.D Munasinghe di sini, Jumaat.
Terdahulu sebelum itu, beliau bersama Ketua Pemuda MIC, T. Mohan, wakil Pemuda MCA, Dr. Toh Kian Kok dan wakil pemuda BN yang lain mengepalai perarakan ke kedutaan Sri Lanka. Lebih 2,000 Pemuda BN hadir menyertai perarakan berkenaan.
Datuk Azeez seterusnya memaklumkan, Duta Sri Lanka, D.D Munasinge berjanji untuk menghantar secara terus (faksimili) memorandum berkenaan kepada kerajaan Sri Lanka.
“Dalam pertemuan ringkas tadi, kita dimaklumkan bahawa pihak kedutaan di sini akan menyampaikan bantahan kita hari ini berhubung kekejaman yang berlaku di negara tersebut serta merta.
“Kita akan lihat dalam tempoh terdekat dan jika perkara itu berterusan, kita akan menggunakan saluran lain termasuk membawa perkara ini kepada Pengerusi Pemuda BN untuk tindakan selanjutnya”, ujarnya.
Related posts |












