Azalina belum cukup ‘jantan’ untuk rebut jawatan Wanita Umno

Posted by ari on Nov 6, 2008 in UncategorizedNo comments

Safar Jumaat

MENGAKUI hakikat sukar untuk melepasi quota untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno sahaja, sebenarnya tidak mencukupi sekiranya Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dato’ Seri Azalina Othman Said tidak mempunyai cukup keberanian mendedahkan cerita sebenar, mengenai sekatan dan halangan terhadapnya.

Berbanding calon-calon lain, Azalina sepatutnya mempunyai kekuatan melebihi dari Dato’ Seri Shahriat Abdul Jalil dan Dato’ Kamalia Ibrahim yang terlalu lama ‘bernaung’ di bawah ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz.

Azalina tidak ‘masuk Umno’ melalui Rafidah, jika dibandingkan dengan (Wanita) yang lain-lain.

Dulu, cerita sekatan dan halangan dalam Wanita ini pernah disuarakan bekas Naib Ketua Pergerakan Wanita, Tan Sri Napsiah Omar, tetapi disebabkan beliau bercakap di zaman kejatuhannya, tiada siapa yang memperdulikannya.

Kini, ketika zaman kejatuhan Rafidah, sebenarnya semakin kurang kepedulian orang terhadapnya tetapi disebabkan ‘masih ada rasa hormat’ Wanita Umno terhadap Shahrizat, yang dianggap layak menggantikan Rafidah, maka serangan dibuat terhadap Rafidah, terkesan oleh Shahrizat.

Banyak pihak mendakwa, ketika Shahrizat bermain acilut, hatinya lebih rela tidak menjadi Naib Ketua Pergerakan Wanita daripada mengecilkan hati Rafidah.

Kebetulan Shahrizat tewas dalam pilihan raya umum yang lalu, menyebabkan dia tidak ‘bersemangat’ seperti ketika dia bergelar YB.

Faktor usia juga memungkinkan Shahrizat dengan sendirinya merasakan dia sudah ‘kurang tenaga’ untuk menerajui Pergerakan Wanita, tetapi rasa ralat untuk keluar awal dari pergerakan itu, tetap ada dalam dirinya.

Azalina sepatutnya menyatakan hasratnya untuk menerima pencalonan bagi jawatan Naib Ketua Pergerakan Wanita, sebelum mesyuarat Wanita bahagian bermula. Setiausaha Politik Azalina sebenarnya boleh memainkan peranan untuk ‘meminta pencalonan’ jika dia serius untuk bertanding.

Mengeluh kurang tujuh pencalonan, sebelum berakhir 17 bahagian bermesyuarat sebenarnya sesuatu yang cukup sukar, walaupun tidak mustahil.

Sebagai seorang ahli politik yang ‘mempunyai ilmu mempertahankan diri’, Azalina tentunya mempunyai strategi untuk mendapat sesuatu.

Kemenangannya tanpa bertanding di Bahagian Pengerang adalah bukti, Azalina ada ’senjata sulit’ tetapi, jika beliau mahu menang ‘percuma’ dalam Pergerakan Wanita yang sudah ‘banyak putar belitnya’, lupakanlah sahaja.

Tanpa menunjukkan minat dan tanpa meminta pencalonan, adalah satu kerja mudah dan percuma, jika menerima pencalonan.

Dalam hal seperti ini, Azalina sebenarnya jangan memikirkan, semua pencalonan yang beliau terima adalah ‘penyokongnya’ kerana, kemungkinan pencalonan itu dibuat kerana ‘menolak Shahrizat’ juga tidak boleh dinafikan.

Wanita bahagian yang mencalonkan Azalina berdepan dengan dua kemungkinan. Pertama, mereka memang mahukan Azalina menjadi Naib Ketua Pergerakan Wanita dan kemudiannya, selepas tiga tahun, menerajui Wanita Umno.

Kedua, mereka mahukan Shahrizat meninggalkan kerusi Naib Ketua Wanita untuk bertanding kerusi ketua. Wanita bahagian-bahagian sudah tidak mahu lagi mendengar cerita ‘pelan peralihan kuasa’ seperti yang dilaung-laungkan Rafidah sebelum ini, kerana mereka tahu ‘tiada apa-apa kuasa’ yang hendak dialihkan antara Rafidah kepada Shahrizat.

Dalam konteks ini, ada juga yang merasakan, Rafidah saja ‘mereka-reka’ pelan peralihan kuasa ini bagi menjamin Azalina tidak berada di dalam hirerki kepimpinan Wanita, sekurang-kurangnya untuk tiga tahun akan datang.

Ramai yang beranggapan, Azalina ‘tersilap’ jika inginkan jawatan itu, tetapi tidak menunjukkan keinginannya itu secara berterus-terang.

Ada juga yang mengatakan, Shahrizat sendiri kurang selesa menjadi ketua, jika Azalina ‘di bawahnya’ kerana status YB dan jawatan Menteri yang Azalina ada.

Dari perkiraan-perkiraan ini, Azalina sepatutnya membuat pendirian awal, menyatakan hasratnya sedia menerima pencalonan, bukan sahaja sebagai Naib Ketua Pergerakan Wanita, sebaliknya, jika cukup pencalonan, bersedia mempertimbangkan untuk menentang Rafidah.

Sehingga hari ini, jika Azalina gagal mencukupkan quota bertanding, Shahrizat yang sudah cukup quota bertanding jawatan Ketua Wanita, mungkin akan menerajui Wanita, bergandingan dengan Kamalia, kerana Kamalia sudah mencukupi quota.

Gandingan Shahrizat-Kamalia adalah gandingan bukan YB, kerana Kamalia tidak bertanding dalam pilihan raya lalu dan sudah terlepas peluang untuk dilantik menjadi Senator, kerana sudah pernah menjadi Senator dua penggal lamanya.

Memahami kata-kata Azalina ‘the biggest womans enemy is the woman themselves’ perlulah dilihat dalam kontaks Pergerakan Wanita Umno di bawah Rafidah.

Sedaya upaya, mereka tidak mahukan Azalina, walaupun Azalina sudah melepasi usia Puteri sejak empat tahun lalu.

Kononnya, semua ahli Puteri secara otomatik menjadi ahli Wanita, hanya cakap-cakap politik, kerana Azalina adalah salah satu mangsanya.

Sepatutnya, sebaik sahaja Azalina sudah ‘hilang kelayakkan menjadi ahli Puteri’, ada pintu Wanita Umno yang dibuka, menjemputnya masuk, dengan tawaran jawatan yang boleh member peluang kepadanya, dari pengalamannya menerajui Puteri, untuk digunakan pakai dalam Wanita.

Malangnya, ada suara-suara yang menyindir Azalina, “saya pun tak tahu dia ‘wanita’ atau tidak…” keluar dari mulut pemimpin Wanita.

Kata mereka yang mengikuti perkembangan politik Wanita Umno ini memberitahu, Rafidah memang tidak berminat dengan Azalina, tetapi bercakap ’saya tidak ada masalah dengan Noraini Ahmad (Ketua Pergerakan Puteri sekarang)’ dan kata-kata, kita ni dah begitu lama makan garam, yang mengambarkan, dia memang tidak boleh menerima kehadiran Azalina dalam Wanita, selagi dia menjadi ketuanya.

Bukan sukar untuk memahami ‘bahasa badan’ seseorang dan kebetulan, Rafidah tentunya mahukan Dato’ Halimah Sadique berada dalam Wanita, mewakili Wanita Johor dan bukannya Azalina.

Jika Halimah yang dilihat sudah ‘merajuk’ dengan Umno dan enggan kekal sebagai Ketua Umno Bahagian Tenggara, Rafidah rasanya lebih rela menerima Noraini jika bercakap soal bekas pemimpin Puteri.

Malahan, Noraini yang dikatakan suka bercakap lembut, lebih lembut gigi dari lidah dikatakan sering merujuk Rafidah dalam beberapa hal, berbanding dengan Azalina yang dikatakan tidak bersikap seperti Noraini.

Tidak tahulah selepas ketiadaan Rafidah dalam Wanita, siapa pula yang Noraini akan rujuk, jika timbul satu-satu perkara.

sumber: harakahdaily.net

Share and Enjoy:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google
  • E-mail this story to a friend!
  • Print this article!
  • Technorati
  • TwitThis
  • BlinkList
  • Live
  • StumbleUpon

Related posts

Tags: , , , ,

Leave a comment